
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui media dalam kereta api berkelajuan tinggi daripada Shanghai menuju ke Hangzhou / Foto BERNAMA
HANGZHOU,23 September – Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati pendirian Menteri Pengangkutan,Anthony Loke yang menawarkan peletakan jawatan atas prinsip menentang kleptokrasi dan rasuah.
RINGKASAN BERITA AI
−
Datuk Seri Anwar berkata,kerajaan mempunyai keterbatasan dalam perkara berkaitan pengampunan,termasuk keputusan membabitkan bekas Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak,yang menurutnya merupakan bidang kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata,isu itu telah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong,manakala Peguam Negara turut menjalankan tugasnya dengan menyampaikan pandangan secara tulus dan adil mengenai faktor yang menyebabkan kerajaan sukar menerima keputusan mengurangkan hukuman pada peringkat ini.
“Yang di-Pertuan Agong beri pertimbangan lain dan memutuskan. Dan kita sebagai rakyat dan prinsip Perlembagaan yang ada,saya faham ada setengah nak gunakan ini kononnya kita ada kompromi,kita dah pakat dengan pimpinan UMNO,tak betul,” katanya.
Beliau turut menegaskan,pendirian kerajaan dalam menolak rasuah tidak berubah,sambil meminta semua pihak memahami keterbatasan kerajaan dalam sistem Perlembagaan sedia ada.
Katanya,kerajaan tidak mempunyai kuasa mutlak dalam soal pengampunan walaupun mempunyai majoriti besar di Parlimen.
Dalam pada itu,Datuk Seri Anwar menolak cadangan supaya Anthony atau DAP mengambil tindakan susulan atas keputusan berkenaan semata-mata kerana tekanan politik.
Menurut beliau,Anthony tidak melakukan kesalahan,sebaliknya mengambil pendirian berdasarkan prinsip perjuangannya.
“Dia bukan menentang keputusan saya ataupun Kerajaan MADANI dan kerjasama dalam Perpaduan. Tapi dia fikir sukar dia nak pertahankan keputusan itu bila parti dia,malah Pakatan Harapan sekarang daripada awal pendirian kita agak tegas bab ini,” katanya.
Beliau memaklumkan,akan turut memberikan pandangan kepada Anthony mengenai implikasi daripada keputusan berkenaan,namun menegaskan perkara itu perlu ditangani dengan sabar dan bijaksana.