Sains

Kaedah pengoperasian sekolah pada Isnin diumum esok – JPN Sarawak

Sep 4, 2026 IDOPRESS

Keadaan persekitaran di salah sebuah sekolah yang terjejas akibat jerebu di Padawan,Kuching./ RTM

KUCHING,4 Sept – Kaedah pengoperasian sekolah di Sarawak bagi Isnin depan akan dimaklumkan esok sebelum pukul 2 petang susulan situasi jerebu yang masih melanda negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI

Penutupan sekolah akibat jerebu bermula di Bahagian Serian pada 13 Ogos,membabitkan 108 buah sekolah selepas bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200,dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan.

Pada 20 Ogos,sebanyak 591 sekolah di bawah 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak pula ditutup sementara,berikutan bacaan IPU pada tahap tidak sihat,membabitkan 509 sekolah rendah dan 82 sekolah menengah.

Penutupan sekolah melibatkan kawasan Kuching,Padawan,Bau,Lundu,Samarahan,Simunjan,Serian,Sri Aman,Lubok Antu dan Betong.

Kesemua sekolah berkenaan kemudiannya dibenarkan beroperasi semula pada 24 Ogos selepas bacaan IPU berada di bawah 200,manakala aktiviti luar bilik darjah tidak dibenarkan dan murid dinasihatkan memakai penutup hidung.

Bagaimanapun,30 buah sekolah di bawah PPD Lubok Antu kembali ditutup sementara pada 28 Ogos,membabitkan 28 buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah dengan keseluruhan 4,035 murid,selepas bacaan IPU mencapai paras sangat tidak sihat.

Keadaan jerebu kini kembali bertambah buruk. Berdasarkan kemas kini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar pagi ini,bacaan IPU Serian mencecah 518 pada pukul 10 pagi,selepas mencatat 495 pada pukul 7 pagi.

Kuching pula merekodkan IPU 310,manakala Samarahan 281 dan Sri Aman 245,semuanya pada paras sangat tidak sihat atau berbahaya mengikut bacaan masing-masing.

Beberapa kawasan lain seperti Sarikei,Sibu,Bintulu dan Samalaju turut merekodkan bacaan tidak sihat,manakala Limbang,Miri dan Kapit masih pada tahap sederhana.

Bacaan IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya,manakala 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 101 hingga 200 tidak sihat.

Sebelum ini,Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas,berkata bacaan IPU 500 akan mencetuskan tindakan pengisytiharan darurat di lokaliti terjejas,dengan perkara itu akan dirujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu,Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini menasihatkan orang ramai di kawasan terjejas supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar apabila kualiti udara melebihi paras 100 serta mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sesak nafas atau batuk berpanjangan.

Situasi jerebu di Sarawak turut dikaitkan dengan asap rentas sempadan dari kebakaran di Kalimantan,Indonesia,dengan keadaan cuaca panas dan kering serta tiupan angin monsun barat daya meningkatkan risiko kemerosotan kualiti udara di negeri berkenaan.