
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi,Adam Adli Abd Halim
KUALA LUMPUR,21 Julai – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewajibkan penubuhan Majlis Penasihat Industri di semua universiti awam bagi memastikan program akademik dan kurikulum yang ditawarkan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran semasa.
RINGKASAN BERITA AI
−
“Sehubungan itu,dasar ini diwujudkan bagi memastikan setiap universiti menjalinkan kerjasama yang erat dengan pihak industri menerusi Majlis Penasihat Industri,sekali gus memastikan graduan yang dilahirkan memiliki pengetahuan dan kemahiran yang memenuhi kehendak pasaran pekerjaan,” katanya di Dewan Negara.
Bagi memperkukuh jaminan pekerjaan,Adam memaklumkan KPT telah menjalin kerjasama strategik dengan gergasi teknologi global seperti Google,Microsoft dan Huawei untuk menawarkan sijil profesional industri berkaitan AI,Data Raya,dan Internet of Things (IoT).
“Program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (Work-Based Learning – WBL) seperti program 2u2i dan Ijazah Perantisan yang mengamalkan konsep meraih pendapatan sambil belajar (earn and learn) terus diperluas dengan melibatkan 70 peratus hingga 80 peratus sesi pembelajaran di tempat kerja.
“Pihak kementerian juga menggerakkan sinergi rentas agensi bersama PERKESO,portal MYFutureJobs,TalentCorp,Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk memastikan padanan kerjaya graduan adalah setaraf dengan kelulusan mereka,”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan,Adam menegaskan bahawa KPT komited untuk mengubah landskap graduan daripada pencari kerja kepada pencipta peluang pekerjaan (job creator).
Menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 yang diluncurkan pada 15 Mei lalu,penekanan khusus kini diberikan kepada penguasaan keusahawanan digital,ekonomi gig,dan keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa.